Penganjuran ‘Pekan Gadong Fest’ tampil kelainan

Beaufort : Seramai lebih 400 pengunjung hadir memeriahkan ‘Pekan Gadong Fest’ dan ceramah agama yang berlangsung di Tapak Tamu Gadong di sini malam tadi.

Program itu dirasmikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan.

Ruslan berkata, penganjuran program itu kali ini telah menampilkan sedikit kelainan apabila turut diselitkan dengan ceramah agama.

Katanya, berbeza dengan penganjuran sebelum ini, program itu telah menampilkan persembahan hiburan khususnya busking dan nyanyian.

“Sepanjang ceramah diadakan, saya lihat pengunjung yang hadir kelihatan amat teruja dan khusyuk mendengar ceramah yang disampaikan penceramah jemputan yang dikendali bersama-sama moderator.

“Saya melihat program ini amat baik dan bercadang agar program seumpama ini akan dapat diperluaskan ke beberapa zon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, bagi berkongsi manfaat dengan masyarakat setempat,” katanya.

Ruslan berkata, cadangan bagi memperluaskan program itu dijangka akan dilaksanakan selepas Hari Raya Aidilfitri bertempat di Kampung Suasa pada April depan dan diikuti di Padas Damit.

“Saya percaya perkongsian daripada penceramah jemputan akan memberi sedikit sebanyak manfaat kepada masyarakat setempat dan generasi muda selain membantu pertumbuhan ekonomi di Lumadan.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada penganjur dan pihak terlibat dalam menjayakan program ini dan saya harap mereka akan terus menjalin kerjasama dengan pejabat ADUN Lumadan agar kita dapat bantu apa keperluan bagi menjayakan penganjuran akan datang, ” katanya.

Sempena Pekan Gadong Fest dan Ceramah Agama, kira-kira sebanyak 30 buah gerai dibuka sepanjang penganjuran itu yang menjual pelbagai aneka makanan dan minuman, funfair, serta bundle yang menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung.