Pengguna jalan diingat sentiasa berhati-hati balik kampung musim perayaan

Beaufort: Pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa berhati-hati Ketika memandu balik kampung semasa hari perayaan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, perjalanan yang tenang penting bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tidak diingini berlaku.

“Saya ingin berpesan kepada masyarakat yang akan bercuti sempena sambutan Tahun Baru Cina khususnya yang akan balik kampung agar sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya.

“Pastikan semua keselamatan kenderaan berada dalam keadaan yang baik dan selamat dalam perjalanan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri walkabout sempena tahun baru cina sekitar daerah ini di sini semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah.

 

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, kemalangan juga boleh berlaku bila-bila masa sekiranya aspek keselamatan diabaikan.

“Kita juga perlu sabar dalam pemanduan dan sudah tentu dimusim perayaan ini keluarga kita sentiasa menanti bagi menyambut perayaan secara bersama,” katanya.

Terdahulu, ketika ditanya mengenai program walkabout, Ruslan berkata, program yang diadakan setiap tahun itu adalah bagi meraikan kebersamaan sempena dengan tahun baru cina.

Katanya, menerusi program itu juga ianya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan mempamerkan kepimpinan para pemimpin khususnya di daerah Beaufort.

“Hari ini kita melaksanakan program Bersama dengan Ketua Masyarakat CIna (KMS) dan masyarakat Tionghua yang mengerakkan program ini sempena tahun baru cina.

“Lebih istimewa program ini turut diiringi tarian singa yang menyemarakkan lagi program dan memberi semangat kepada masyarakat Tionghua yang akan merayakan perayaan tahun baru cina tidak lama lagi,” katanya.