KOTA KINABALU (16 MEI): Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengalu-alukan sokongan Kerajaan Pusat dalam menyelesaikan masalah air yang berlaku di Sabah sejak kebelakangan ini.
Beliau menyambut baik sokongan Kerajaan Perseketuan dibawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memberi bantuan dan meletakkan kepercayaan dalam menangani masalah ini dengan cepat.
“Kerajaan Negeri sedang melaksanakan rancangan kita sendiri untuk menangani masalah air dan dengan kehadiran Persekutuan untuk memberikan bantuan, kita percaya masalah itu dapat diselesaikan dengan cepat,” katanya.
Ketua Menteri menjelaskan bahawa Perdana Menteri tidak menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengambil alih pengurusan bekalan air negeri.
“Apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri ialah Kerajaan Persekutuan akan membantu dalam pengurusan masalah itu dengan menyediakan pembiayaan yang lebih besar sama seperti isu air di Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hajiji berkata, Kerajaan memandang serius masalah bekalan air di Sabah.
“Kita akan menyelesaikan semua isu semasa pertemuan dengan Perdana Menteri untuk mendapatkan penyelesaian yang berkekalan,” katanya.