
HASiL rai pengamal media dalam Majlis Berbuka Puasa dan Apresiasi Media Sabah 2023

KOTA KINABALU (6 APRIL): Hampir 50 pengamal media di negeri ini diraikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menerusi Majlis Berbuka Puasa dan Apresiasi Media Sabah 2023 di Hotel Hilton, dekat sini, semalam.

Majlis yang julung kali diadakan di Sabah itu bertujuan menjalinkan hubungan baik bersama rakan media dalam menguar-uarkan penyampaian sebarang maklumat menerusi laporan berita serta perkongsian menerusi peranan dan fungsi HASiL bertepatan dengan pelaksanaan satu inisiatif Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang bakal dilancarkan pada 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Hasil, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, insiatif berkenaan membolehkan pembayar cukai baharu atau yang sedia ada untuk tampil membuat pengakuan sukarela membayar cukai.
“LHDN menganggarkan sekitar 50,000 pembayar cukai akan tampil membuat pengakuan percukaian dalam inisiatif berkenaan namun secara realistik kita anggarkan adalah RM1 bilion.
“Memang kalau boleh HASiL nak lebih banyak, tetapi kalau banyak sangat pun menandakan tak bagus, bererti terlalu banyak yang selama ini tidak melaporkan dengan betul,” katanya.
Beliau turut menjelaskan tiada penalti dikenakan kepada pembayar cukai yang sudah berlalu cuma mereka diminta tampil hanya membuat laporan saja berdasarkan apa yang diketahui dan HASiL terima secara baik dan tidak akan buka lagi tahun berkenaan untuk diaudit.
“HASiL akan memberi panduan yang perlu dibuat supaya tidak lagi berlaku kurang ataupun tidak lapor bila ke hadapan dalam program pengakuan sukarela ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Berhubungan dengan itu, Mohd Nizom berkata, media juga memainkan peranan yang penting dalam membantu HASil memaklumkan kepada orang ramai supaya tampil ke hadapan secara sukarela.
Dalam majlis itu, pengamal media di Sabah termasuk Bayu News turut menerima penghargaan daripada HASil atas kerjasama dalam memberikan informasi-informasi terdahulu.
Majlis turut diserikan dengan Tazkirah Ramadan sebelum berbuka puasa yang disampaikan oleh Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Islam Sabah (PISA) Al Fadhil Ustaz Mohd Anuar Ali.
Turut hadir, YBrs. Puan Wan Ramiza Binti Wan Ghazali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), Cik Ranjeet Kaur, Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg. Datuk Hajam Bin Lajah Alam, Pengarah Negeri Sabah, barisan pengurusan atasan dan pegawai-pegawai kanan HASiL.