Rogol anak tiri berusia 12 tahun, lelaki warga asing ditahan

editor@bayunews.net

TAWAU (3 APRIL): Seorang lelaki warga asing berusia 32 tahun ditahan selepas disyaki merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun berhampiran Merotai, dekat sini.

Suspek melakukan perbuatan terkutuk itu pada 7 Mac lalu di sebuah rumah lama dalam kebun kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin mengesahkan penangkapan suspek dilakukan pada Sabtu jam 9.50 malam selepas ahli keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Desa Kencana, Lahad Datu pada hari yang sama.

Hasil laporan itu, mangsa difahamkan tinggal bersama suspek sejak 5 Mac lalu dan mengambil keputusan menceritakan kejadian rogol itu kepada kakaknya menerusi WhatsApp yang berada di Felda Sahabat 20, Lahad Datu.

Mengulas lanjut, mangsa telah diugut akan dipukul atau dicederakan oleh suspek sekiranya memberitahu kejadian berkenaan.

Untuk rekod, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.