542 PATI dari Depot Imigresen KK, Papar dan Tawau dihantar pulang ke Filipina

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (31 MAC): Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) meneruskan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melibatkan seramai 542 warganegara Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Tawau.

Difahamkan program penghantaran dalam siri ke-8 melalui jalan laut itu menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1.

Pengarah JIM Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof mengesahkan perkara berkenaan.

Katanya, kesemua tahanan terdiri daripada 422 orang lelaki, 92 orang perempuan manakala 24 orang kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan 4 orang lagi kanak-kanak beumur 23 bulan ke bawah.

“Purata tahanan dewasa berumur antara 13 hingga 78 tahun sementara kanak-kanak yang terlibat penghantaran pulang diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, warga asing diingatkan untuk memastikan memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja sebelum memasuki negara ini.

Untuk rekod, kesemua PATI ditahan di Depot Imigresen melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.