
Gotong-royong bersih tanah perkuburan Islam di Kampung Bokara sucikan jiwa golongan muda

editor@bayunews.net
SANDAKAN (24 MAC): Amalan gotong-royong membersihkan tanah perkuburan bukan saja mampu meningkatkan nilai kerohanian dalam diri malah ia turut membawa kepada kesucian jiwa seseorang khususnya golongan anak muda.

Begitulah cerminan yang ditonjolkan oleh 30 orang sukarelawan disini yang melibatkan diri dalam Program Gotong-Royong Perdana membersihkan tanah perkuburan Islam di Kampung Bokara, Jalan Panglima Adam Sandakan, di sini pada Rabu lepas yang mana ia aktiviti rutin dilakukan menjelang ketibaan Ramadan.

Anjuran yang julung kali diadakan oleh Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang merupakan sayap belia bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Batu Sapi dengan kerjasama Jawatankuasa Sukarelawan Tanah Perkuburan Kampung Bakara, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Misi Marhaen Sabah (GEMIMA) itu mampu menarik golongan muda untuk bergiat dalam aktiviti kemasyarakatan disamping mengeratkan hubungan silaturrahim.

Menurut Ketua ARMADA Bahagian Batu Sapi Mohd Fazriee Awang berkata, aktiviti itu bertujuan meningkatkan pembangunan kerohanian anak muda khususnya penduduk di sini.
“Ia juga mampu memupuk keinginan anak muda masa kini untuk menyumbang bakti terhadap masyarakat.

“Selain mewujudkan rasa tanggungjawab sosial, usaha membersihkan kawasan tanah perkuburan itu turut memberi imej yang lebih sempurna, menjaga kebersihan sekaligus memberi suasana selesa buat ahli keluarga yang datang menziarah.
“Kaedah ini satu pendekatan buat kita di sini untuk memastikan kerjasama semua pihak dapat dipertingkat lagi dalam program kemasyarakatan seperti ini,” katanya yang ketika turun padang menjayakan program berkenaan.
Sementara itu, Naib Timbalan BERSATU Batu Sapi Asram Asmat yang mewakili Ketua Bahagian BERSATU Batu Sapi Haji Abdul Kadir Hj Damsal turut menzahirkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada mereka yang hadir menjayakan aktiviti tersebut terutama sekali kepada Jawatankuasa Sukarelawan Tanah Perkuburan Kampung Bakara.
Katanya, aktiviti seumpama itu perlu digiatkan dari masa ke masa dan secara tidak langsung membentuk jari diri anak muda.
Tambahnya lagi, semua pemimpin-pemimpin tempatan sama ada di peringkat daerah, kampung atau masjid perlu berganding bahu dalam aspek kerjasama menjaga dan memelihara kebersihan kawasan tanah perkuburan tidak hanya musim perayaan sahaja malah juga perlu sentiasa dibersihkan.-Ihsan Azzahrawi