Masalah enjin punca pesawat Cebu Pasifik Air mendarat cemas di KKIA

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (23 MAC): Sebuah pesawat airbus A330 milik Cebu Pacific Air yang membawa 92 penumpang dan anak kapal terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini semalam.

Hasil keterangan awal mendapati pesawat berkenaan dikatakan mengalami masalah enjin bahagian kiri ketika melakukan penerbangan dari Cebu, Filipina pada jam 7.55 semalam.

Pesawat itu sepatutnya melakukan pendaratan di Singapura tengah malam semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan mengesahkan perkara itu sebaik mendapat panggilan menerusi Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) KKIA pada 9.49 malam.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi berkenaan.

“Keadaan lapangan terbang terkawal dan pesawat mendarat dengan selamat bersama penumpang serta anak kapal.

“Operasi kesiapsiagaan ditamatkan pada jam 10.20 malam,” ujarnya.