
Joachim minta MPS tangani masalah sampah di Kampung Sim-Sim Sandakan

editor@bayunews.net
SANDAKAN (21 MAC): Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam meminta Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk menangani masalah sampah di Kampung Sim-Sim, dekat sini, hari ini.
Beliau yang mengadakan lawatan ke perkampungan air berkenaan hari ini melihat sendiri masalah sampah yang dihadapi oleh penduduk sejak bertahun lamanya.
“Masalah sampah ini sudah sekian lama dihadapi penduduk di sini. Sampah dibawa oleh arus laut telah mengakibatkan longgokan sampah.
“Keadaan ini menarik perhatian saya dan hari ini (semalam), saya bersama Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Hendry Idol telah mengadakan perbincangan bersama dengan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Dr Jamili Nais untuk menangani isu yang sudah berlarutan oleh penduduk perkampungan air di sini,” kata Joachim.
Jelasnya, masalah Sim-Sim perlu segera dibendung kerana lokasi itu menjadi daya tarikan buat pelancong dan menikmati makanan laut yang segar.
Jika ia tidak dibendung, perkara berkenaan akan memberi imej yang tidak menyenangkan kepada pengunjung yang datang ke restoran di sini, tambahnya.
Sementara itu, Henry berkata, MPS akan berusaha menangani masalah itu dan salah satunya ialah dengan melantik kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.
Beliau juga memohon kerjasama penduduk setempat agar tidak membuang sampah di merata-rata tempat.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung.