Bom ikan, lelaki warga Filipina ditahan di perairan Kudat
editor@bayunews.net
KUDAT (20 MAC): Seorang lelaki warga Filipina berusia 57 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APM) selepas disyaki melakukan aktiviti bom ikan di perairan Kudat, dekat sini.
Tertuduh ditahan bersama bot pam tidak berdaftar pada kedudukan 0.82 batu nautika tenggara Pulau Lingkutan, Banggi Kudat kira-kira jam 11 pagi itu.
Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne turut mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot hasil maklumat risikan awal.
“Bot peronda Maritim Malaysia telah diatur gerak sejurus menerima maklumat dan menemui sebuah bot sedang terapung di lokasi.
“Turut ditemui bahan letupan serta peralatan mengebom ikan,” katanya.
Maurice turut mengesa orang ramai yang memiliki maklumat berkenaan salah laku jenayah di laut segera menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.
Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.