52 Pasukan Berentap Mulai 15 September Ini

KOTA KINABALU  : Sebanyak 52 pasukan akan berentap merebut Piala Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin mulai 15 September ini.

Presiden Persatuan Bola Baling Sabah (SABHA), Datuk Awang Aslee Lakat berkata Kejohanan Bola Baling Terbuka Sabah 2022 Piala Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin itu juga menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 dan RM5,000 masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita. 

“Kejohanan ini akan berlangsung di Kompleks Sukan Tun Adnan, Yayasan Sabah bermula 15 hingga 18 September 2022 dan hadiah pada kali ini merupakan paling besar dalam sejarah bola baling di Malaysia iaitu RM10,000.

“Setakat ini, terdapat 52 pasukan telah mengesahkan penyertaan melibatkan 29 pasukan lelaki dan 23 pasukan wanita.

“Jumlah ini dijangka akan meningkat menjelang tarikh akhir kejohanan pada 28 Ogos depan,” ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kejohanan tersebut di ibu negeri, hari ini.

Beliau turut memaklumkan acara dwitahunan itu menarik minat pasukan dari Sarawak, Selangor, Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur  Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya, selain Negara Singapura.

Tambah beliau, kejohanan empat hari berkenaan akan menggunakan khidmat 24 pengadil berpengalaman dari seluruh Malaysia termasuk dua pengadil dari Indonesia./Penerangan-