653 PATI dari Depot Imigresen KK, Papar dan Tawau dihantar pulang

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (16 MAC): Seramai 653 orang Pendatang Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina yang ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Tawau telah dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan, kelmarin.

Difahamkan kesemua PATI ditahan atas melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, kesemua PATI dihantar ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina dengan pengangkutan laut.

Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) melaksanakan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) siri 7 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2023 merupakan program pemindahan dalam bulan Mac bagi warganegara Filipina.

“Seramai 439 lelaki, 145 wanita dan 69 kanak-kanak yang berusia antara 23 bulan hingga 12 tahun ke bawah manakala bagi dewasa dari 13 hingga 68 tahun.

“Kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa serta penjaga masing-masing. Semua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1,” katanya.