Galeri Azman Hashim UMS inspirasi reka bentuk gong bakal tarikan pelancongan Sabah

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (14 MAC) : Galeri Azman Hashim (GAH) salah satu bangunan ikonik dan mempamer karya-karya seni bermutu tinggi bakal menjadi daya tarikan baharu pelancongan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) khususnya di negeri ini.

Menurut Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, selain karya-karya seni yang dipamerkan, reka bentuk bangunan GAH itu ternyata begitu unik dan pasti menjadi tarikan yang istimewa.

“Karya-karya bermutu juga ditempatkan di bangunan ini disamping bentuk bangunan GAH akan menjadi satu kebanggaan kepada warga Sabah khususnya UMS dalam menarik lebih ramai pelancong luar pecinta seni untuk berkunjung.

“GAH juga berfungsi sebagai pusat pengembangan ilmu yang mana galeri ini menempatkan pelbagai fasiliti yang boleh digunakan bagi penganjuran program-program kesenian dan kebudayaan seperti seminar, ceramah, pameran dan sebagainya.

“Harapan kita adalah untuk menjadikan GAH sebuah galeri seni yang tersohor bukan hanya di rantau ini tetapi mampu menjadi tumpuan khasnya kepada pencinta seni dan budaya dari seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.

Kunjungan tersebut bertujuan menjemput Tun Juhar untuk hadir sekaligus menyempurnakan Perasmian Galeri Azman Hashim yang dijadualkan pada 10 Jun depan.

Diinspirasikan daripada reka bentuk Gong, pembinaan GAH yang menelan belanja sebanyak RM15 juta ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Azman Hashim dan telah siap dibina pada pertengahan tahun lepas.

Turut hadir, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, Bendahari, Badrul Hisham Ismail dan Pengarah GAH, Dr. Mohammad Puad Bebit.