Tiga maut, seorang cedera kereta bertembung di Jalan Papar Lama

editor@bayunews.net

PENAMPANG (13 MAC): Dua pemandu dan seorang penumpang maut dalam kemalangan berlaku di Jalan Papar Lama berhampiran Kampung Nambazan dekat sini, semalam.

Kemalangan melibatkan kenderaan jenis MPV Naza Kia dan Perodua Myvi bertembung itu dipercayai berpunca daripada MPV memandu secara lawan arus.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pertembungan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan rosak teruk di bahagian hadapan.

“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara seorang lagi penumpang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun dalam Perodua Myvi hanya cedera ringan.

“Kesemua mayat dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di sini untuk dibedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.