Jual jersi tiruan, Sabah FC akan ambil tindakan undang-undang  

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (4 MAC): Susulan isu penjualan jersi tiruan yang kian tular di media sosial sejak kebelakangan ini, pihak pengurusan Sabah Football Club (FC) bertegas untuk tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengeluar, mengedar, menjual barangan menggunakan nama, logo dan sebarang produk mahupun perkhidmatan tanpa persetujuan pihak pengurusan.

Kenyataan itu dikeluarkan menerusi halaman Facebook Sabah FC menyatakan tindakan undang-undang akan diambil terhadap semua mereka yang terlibat.

Dalam kenyataan sama, pihak Sabah FC turut mengingatkan penjualan jersi tiruan tersebut jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 100 (1) (ii), Akta Cap Dagang 2019 dan boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak Sabah Football Club tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dan pihak yang menyalahgunakan nama baik kelab untuk tujuan menghasilkan barang tiruan, mahupun mengeluarkan produk Sabah FC tanpa persetujuan pihak pengurusan,” kata kelab berkenaan.

Untuk rekod, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee kini menerajui carta Liga Super selepas dua perlawanan mengalahkan PDRM FC 4-0 dan Rabu lalu mengetepikan Kelantan United 3-1.