
Forum Malaysia Madani 9 Mac ini sejajar misi USIA perjuang skop dakwah di Sabah

editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (4 MAC): Lebih 500 orang awam dijangka akan menghadiri program Forum Malaysia Madani yang bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 9 Mac ini.
Anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Jabatan Ketua Menteri itu merupakan antara program sokongan yang bakal dilaksanakan bagi menjayakan dasar kempimpinan negara yang diusulkan Perdana Menteri ke-10, Dato Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad berkata, program itu memberi fokus kepada usaha memasyarakatkan budaya madani yang bercirikan kepelbagaian dan akan dihadiri penjawat awam, para pelajar pusat pengajian tinggi dan wakil-wakil NGO.
“Kita bersyukur kerana Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor telah menyatakan persetujuan untuk menyempurnakan Perasmian Penutupan Forum ini,” katanya pada sidang media di Menara Kinabalu, di sini.
Tambahnya, kerjasama antara USIA dan Jabatan Kerajaan menganjurkan forum berkenaan sangat signifikan dan bertepatan dengan misi serta visi USIA yang membawa skop dakwah.
“Usaha ini juga relevan dengan Pelan Strategik Pembugaran USIA yang menjadi teras perjuangan untuk mengembalikan kegemilangan USIA,” katanya.
Mengulas lanjut, Sapawi turut menggariskan beberapa objektif penganjuran forum adalah melestarikan masyarakat yang berilmu pengetahuan dengan kaedah perbincangan ilmiah dan interaksi serta persekitaran yang selesa dalam mengemukakan saranan dan pendapat tanpa membezakan suku, ras dan agama.
Disamping itu, program turut bermatlamat dalam menyuburkan masyarakat yang beradab dan berilmu dengan nilai-nilai kemanusiaan bagi menjamin keseimbangan antara kebebasan individu dan kestabilan negara dan masyarakat.
Antara barisan panel program itu Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Ketua Pusat Penyelidikan Sains Dan Teknologi Katalisis UPM Datuk Dr Haji Taufiq Yap Yun Yin, Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan Datuk Dr Amin Senin, dan Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam (UMS) Profesor Dr Issraq Haji Ramli.
Moderator program itu digalas oleh seorang Pendakwah Muda dan USIA Bahagian Sandakan Ustaz Mohd Sufan bin Bahrin.