Peniaga miliki kadar sewa tinggi sukar laksana kempen Menu Rahmah di Sabah
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (13 FEB): Peniaga yang memiliki kedai sewaan yang mahal berdepan kesukaran melaksanakan kempen Menu Rahmah yang dilancarkan oleh pihak kerajaan pusat hari ini.
Kenyataan itu disuarakan oleh Pengerusi Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah David Chan, hasil daripada tinjauan pihaknya apabila mendapati peniaga bukan sahaja terbeban dengan kadar sewaan yang tinggi, malah terpaksa menampung kos gaji pekerja dan bahan mentah.
Katanya, usaha memperkenalkan Menu Rahmah lebih mudah dilaksanakan oleh gerai-gerai makan berbanding pengusaha restoran lot kedai bangunan.
“Bagi premis gerai biasa mereka tidak dibebani kos sewaan kedai yang mahal ditambah dengan kos gaji pekerja antara RM1,200 hingga RM1,500 seorang,” katanya.
Beliau berkata, rata-rata peniaga yang ditemui menyatakan sokongan mereka untuk menjayakan program Menu Rahmah itu.
“Semua mahu menjayakan usaha kerajaan membantu orang miskin dan mereka gembira untuk turut serta,” katanya.
Beliau berharap kerajaan dapat membantu golongan peniaga berkenaan seperti mengurangkan kadar sewa bagi premis di bangunan milik kerajaan.
Tambahnya, insentif berkenaan sekurang-kurangnya dapat memberi galakan kepada peniaga untuk menjayakan program Menu Rakyat.
“Jika peniaga membantu rakyat mengapa kerajaan atau pihak berkuasa tidak boleh membantu peniaga pula,” katanya dalam satu kenyataan.