
Fokus pendidikan, keilmuan dan pembangunan ekonomi masyarakat : Arifin

editor@bayunews.net
MEMBAKUT (8 FEB): Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata pendidikan merupakan asas yang sangat penting dalam semua program pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Saya akan fokus kepada bidang pendidikan dan keilmuan serta pembangunan ekonomi masyarakat.
“Kerana bagi saya dalam apapun pembangunan asasnya adalah ilmu pengetahuan dan ia sangat penting dalam program membasmi kemiskinan, gejala sosial, malah keharmonian masyarakat juga perlu berasaskan pendidikan,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut menyatakan demikian sebagai mengulas perancangan dan fokusnya menjelang pewartaan Membakut sebagai daerah penuh, tahun ini.
Ditanya mengenai perkembangan naik taraf daerah kecil tersebut, Arifin memaklumkan usaha itu kini di peringkat pewartaan dan akan selesai dalam masa terdekat.
“Naik taraf ini telah diumumkan oleh Ketua Menteri dan kabinet pun sudah meluluskan tinggal kita menunggu pewartaan sahaja.
“Proses-proses pentadbiran akan bermula sedikit masa saja lagi.
“Sekarang, ia dalam peringkat pewartaan dan persempadanannya juga sudah selesai.
“Apabila sudah ada pewartaan, kita akan memohon kepada Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sendiri di kawasan Membakut,” katanya.
Menurut beliau, dengan adanya majlis daerah penuh, pihaknya akan mewujudkan Majlis Daerah Membakut yang akan memudahkan urusan pendidikan di kawasan berkenaan.
“Semoga dengan daerah penuh ini, kita akan lebih fokus membangunkan kawasan DUN Membakut & DUN Bongawan dalam Parlimen Kimanis.
“Selain kemudahan untuk masyarakat, naik taraf ini juga membolehkan masyarakat menikmati limpahan pembangunan seperti mana daerah-daerah lain,” ujar beliau.
Arifin ditemui media dalam Majlis Apresiasi Media DUN Membakut di SMK Membakut, pada Selasa.
Dalam majlis itu, Arifin menyampaikan bantuan RM10,000 daripada peruntukan ADUN kepada Prisma DUN Membakut, manakala RM1,500 lagi kepada Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM kepada SMK St. Patrick.