Jumlah mangsa banjir di Johor menurun, Sabah kekal

editor@bayunews.net

KUALA LUMPUR (6 FEB): Jumlah mangsa banjir di Johor berkurangan kepada 420 orang pada pagi Isnin (6 Feb) berbanding 506 pada Ahad malam (5 Feb), manakala di Sabah kekal dengan 46 orang setakat 8.00 pagi tadi.

Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan 394 orang daripada 110 keluarga masih ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Batu Pahat, manakala di Segamat, 26 orang daripada sembilan keluarga masih ditempatkan di satu PPS.

Di Sabah pula, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 46 orang daripada 12 keluarga di satu PPS.

Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan penduduk terjejas hanya melibatkan daerah Beaufort dan angka itu dijangka kekal pada Isnin. Ia juga menyatakan cuaca dilaporkan cerah pada pagi ini.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat tahap buruk di Pahang bagi Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin, serta tahap berbahaya di Kuantan, yang dijangka berterusan hingga Selasa (7 Feb).

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan pada tahap waspada bagi Terengganu (Kemaman), Pahang, (Lipis, Raub, Jerantut dan Bentong), Negeri Sembilan (Jempol) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).-Bernama