Ewon pengerusikan mesyuarat khas pemilikan tanah dan warta kampung di Penampang
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
PENAMPANG (2 FEB): Satu mesyuarat khas pemilikan tanah dan warta kampung melibatkan Kg. Sugud, Kg. Togudon dan Kg. Babagon diadakan di Pejabat Daerah Penampang, di sini, kelmarin.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick itu dilakukan untuk menyelesaikan pemilikan tanah dan warta kampung bagi ketiga-tiga kampung berkenaan.
Jelasnya, Kg. Sugud dan Kg. Babagon memohon supaya Tanah Rezab Padang Ragut di kampung mereka ditukar kepada rezab tanah kampung. Manakala Kg. Togudon memohon supaya isu pemilikan geran tanah dapat diselesaikan.
Beliau yang juga Ali Parlimen Penampang turut memaklumkan surat bertulis memohon kelulusan penyukatan tanah melalui Program PANTAS di Kg. Togudon pada Disember lalu telah mendapat maklum balas yang positif.
“Nota Ketua Menteri kepada Pengarah Jabatan Tanah Dan Ukur Sabah menyatakan tiada halangan untuk penyukatan tanah melalui Program PANTAS,” katanya.
Mengenai isu tanah di Kg.Sugud pula, beliau berkata, isu itu telah dibangkitkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada November 2022.
Ewon juga telah mencadangkan pada persidangan DUN lalu supaya rezab padang ragut di Kg. Sugud ditukar kepada rezab tanah kampung susulan permintaan penduduk kampung yang mempunyai rezab padang ragut namun kini tidak digunakan lagi.
“Berdasarkan jawapan lisan yang saya terima, penukaran rezab padang ragut kepada rezab tanah kampung boleh dipohon dengan menulis surat kepada Setiausaha kerajaan Negeri,” katanya.
Tambahnya, penduduk Kg.Babagon juga meminta supaya rezab padang ragut di kampung itu ditukar kepada tanah kampung kerana tiada lagi penduduk yang mengusahakan ternakan.
Turut hadir Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, pegawai-pegawai Jabatan Tanah dan Ukur, Pejabat Hasil Bumi, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Jabatan Air, Jabatan Pertanian dan Ketua-Ketua kampung berkenaan.