Kes pelajar gaduh di Tanjung Aru, dua kertas siasatan dibuka

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (20 JAN): Dua kertas siasatan dibuka oleh pihak polis berhubung kes pergaduhan melibatkan pelajar sekolah menengah di Tanjung Aru selepas tular di media sosial baru-baru ini.

DITERAJANG … Tangkap layar rakaman video seorang pelajar lelaki diterajang oleh salah seorang kumpulan pelajar ketika pergaduhan mula tercetus.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Zaidi Abdullah berkata kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan telah dibuka atas kesalahan berkaitan dengan sengaja mendatangkan cedera.

Jelasnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dan jenayah dalam kalangan pelajar termasuk kes mendatangkan cedera dan juga kes buli.

Terdahulu, sebuah rakaman video berdurasi 23 saat tular memaparkan aksi pergaduhan seorang pelajar ditumbuk dan diterajang oleh sekumpulan pelajar sambil disaksikan rakan-rakan di sekolah berkenaan.