
Pelawat masuk ke Sabah tidak perlu jalani ujian negatif Covid-19

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (19 JAN): Sabah akan mengetepikan syarat sijil vaksinasi dan tidak perlu jalani ujian COVID-19 dengan keputusan negatif sebagai syarat untuk pengembara masuk ke negeri ini.
Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, keputusan itu dibuat selepas persetujuan dicapai dalam mesyuarat kabinet negeri semalam.
Jelasnya, Sabah memutuskan untuk menggunakan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 selaras dengan kerajaan pusat berhubung kemasukan pelawat ke Malaysia yang berkuatkuasa sejak Rabu (semalam).
“SOP ini terpakai kepada pengembara domestik dan asing,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Terdahulu, Sabah menetapkan syarat terhadap pengembara dari negara asing khususnya pelawat China perlu memiliki vaksinasi lengkap dan keputusan negatif ujian COVID-19 sebelum berlepas.
Sementara itu, Christina berkata, mesyuarat Kabinet negeri itu turut meluluskan penubuhan Biro Konvensyen Sabah, merangkumi aspek visi, fungsi dan perkhidmatan yang dicadangkan.
“Visinya adalah untuk memastikan Sabah diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa sebagai satu daripada bandar raya terbaik dunia dalam penganjuran acara perniagaan.
“Ia juga untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi acara perniagaan yang dinamik yang mana orang ramai, teknologi dan idea digabungkan bagi mewujudkan nilai yang hebat kepada pelanggan,” katanya.
Tambahnya, biro terbabit bakal memainkan peranan sebagai ‘one-stop-shop’ untuk mendapatkan maklumat dan bimbingan, khidmat nasihat perancangan dalam semua aspek penganjuran acara konvensyen dan perniagaan di Sabah.