
Aktiviti sukan tingkat perpaduan, amalan hidup sihat: Juliah

editor@bayunews.net
TUARAN (16 JAN): Aktiviti sukan bukan saja mampu menjadi medan untuk membentuk dan meningkatkan kerjasama serta perpaduan dalam kalangan rakyat, malah berupaya dijadikan satu amalan dan gaya hidup sihat, kata isteri Ketua Menteri Sabah Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag ketika merasmikan Kejohanan Bola Jaring Terbuka di Dewan Sri Sulaman, semalam.
Beliau turut berhasrat agar kejohanan sedemikian dapat diteruskan dari semasa ke semasa demi melahirkan masyarakat yang cergas, aktif dan produktif dengan nilai-nilai murni untuk menghadapi cabaran masa depan.
“Di samping itu, aktiviti sukan juga dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan membina kekuatan mental seperti mengawal emosi, fokus, dan membina semangat berpasukan.
“Saya berharap penganjuran kejohanan ini bukan sahaja dapat membantu mempopularkan sukan bola jaring, malah sebagai platform untuk mencari dan mengenal atlet pelapis dalam sukan itu di negeri ini,” katanya.
Juliah berkata, secara peribadi beliau amat menyokong penganjuran program dan aktiviti berorientasikan sukan seperti bola jaring kerana ia dapat membentuk dan meningkatkan semangat kerjasama berpasukan dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama di negara ini, khususnya di Sabah.
Sementara itu, sebanyak 20 pasukan berentap dalam kejohanan itu.
Juara disandang oleh pasukan Cinnamon NC selepas berjaya menewaskan pasukan UAJ dalam perlawanan akhir Piala Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag itu.