
Maritim Malaysia jalani bengkel bersama Jepun, tingkat keupayaan tangani bot nelayan asing

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (13 JAN): Seramai 30 orang pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menjalani Bengkel Illegal, Unreported dan Unregulated (IUU) Fishing serta United Nation Convention On The Law Of The Sea (UNCLOS), dekat sini hari ini.
Bengkel yang berlangsung selama 4 hari itu merupakan anjuran bersama diantara Maritim Malaysia serta Japan International Cooperation Agency (JICA).

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, bengkel itu merupakan salah satu inisiatif dari pengisian memorandum persefahaman berkaitan Projek Meningkatkan Kapasiti Pendidikan dan Latihan serta Menggalakkan Kerjasama Antara Negara Jiran yang telah ditandatangani pada 2018 diantara Maritim Malaysia dan JICA.
“Bengkel yang dijalankan selama empat hari di Kapal Maritim Arau (KMArau) bermula pada 9 Januari lalu itu turut meliputi sesi latihan pengendalian peranti akustik jarak jauh (LRAD) di sekitar perairan Kota Kinabalu.

“Latihan ini dilaksanakan bagi memberi kemahiran pegawai dan anggota mengendalikan peralatan tersebut serta menguji jarak berkesan kepada bot suspek, terutamanya bot-bot yang menceroboh perairan negara.
“Peralatan itu turut berfungsi dengan cara mengeluarkan bunyi yang sangat kuat dan memberi ketidakselesaan kepada mangsa yang disasar.
“Peranti berkenaan bertindak sebagai alat mengusir bot-bot penceroboh yang enggan memberi kerjasama yang bertindak agresif.
“Dengan adanya inisiatif bersama ini, Maritim Malaysia yakin akan dapat meningkatkan keupayaan dalam menangani isu-isu pencerobohan nelayan asing serta mampu memperkasakan keselamatan perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Terdahulu, Maritim Malaysia telah menerima 4 LRAD sumbangan daripada kerajaan Jepun semasa Majlis Perasmian Bengkel IUU Fishing dan UNCLOS serta Penerimaan LRAD pada 9 Januari lalu.
Keempat-empat LRAD akan ditempatkan di kapal-kapal peronda luar pesisir (OPV) milik Maritim Malaysia yang beroperasi di sempadan perairan negara.