Masyarakat Perlu Peka Fizikal Jalur Gemilang

Tenom: Masyarakat perlu peka terhadap keadaan fizikal Jalur Gemilang, kata Pegawai Daerah Tenom Mas Shazwan Masood.

Menurut beliau, Jalur Gemilang yang telah uzur harus segera diganti agar identitinya kekal unggul dan gemilang.

“Marilah kita bersama-sama menerapkan mentaliti terhadap sikap peduli agar sentiasa peka dalam memelihara dan memandang tinggi Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara.

“Oleh itu, jangan ambil mudah perihal menjaga identiti dan imej negara, seharusnya usaha memelihara Jalur Gemilang dilihat sebagai salah satu usaha menerapkan perpaduan kaum melalui semangat keluarga besar Malaysia,” jelas beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) Peringkat Negeri Sabah di perkarangan Dewan Datuk Seri Panglima Antanom pada Khamis.

Nadzerah menyaksikan Mas Shazwan menandatangani Buku Lawatan Konvoi KMKM Negeri Sabah.
Nadzerah menyaksikan Mas Shazwan menandatangani Buku Lawatan Konvoi KMKM Negeri Sabah.

Pada majlis itu, Mas Shazwan turut mengedarkan Jalur Gemilang ke beberapa premis perniagaan di sekitar Pekan Tenom.

Hadir sama, Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah yang juga Ketua Konvoi KMKM 2022, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong, Zakaria Jamal serta Ketua Polis Daerah DSP Hassan Majid./Penerangan