
Christina komited bawa lebih ramai pelawat masuk ke Sabah

Wartawan Bayu News
KOTA KINABALU (12 JAN): Lebih ramai pelancong luar melawat Sabah pada tahun 2023 dan 2024.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah baharu, Datuk Christina Liew komited untuk memastikan kemasukan lebih ramai pelancong Sabah.
Katanya, pada tahun 2024 bakal menjadi tahun terbaik untuk kementeriannya kerana berlaku pertumbuhan terhadap pembangunan pelancongan.
“Bermula tahun 2023, saya menjangkakan ia akan menjadi tahun yang sibuk, mengujakan dan mencabar buat industri pelancongan di Sabah.
“Pada minggu hadapan, saya akan bertemu dengan pembantu menteri, setiausaha tetap dan pegawai kanan kementerian.
“Saya juga akan bertemu dengan pemain industri pelancongan bagi merancang pelan untuk Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.
Dalam pada itu, Christina yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, berkata Sabah sebelum ini merekodkan kedatangan sekitar 4.3 juta pelancong sebelum pandemik COVID-19 melanda.
Mengulas lanjut, lebih separuh daripada 4.3 juta pelancong itu merupakan pelancong dari China sepanjang tempoh perkhidmatan beliau dari 2018 hingga 2020 di bawah kerajaan pimpinan Parti Warisan (WARISAN).
“Tidak lama kemudian, terdapat perubahan kerajaan dan kemudian disusuli dengan pandemic Covid-19, jadi pasaran sangat senyap.
“Kini apabila keadaan sudah reda, saya percaya sektor pelancongan akan menghasilkan momentum yang lebih besar lagi,” katanya.
Semalam, Christina merupakan salah seorang dari ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah bersama ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe yang dilantik menjadi menteri dalam majlis istiadat mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu.