BN dan Umno Sabah umum tarik balik kerjasama Kerajaan Negeri bersama GRS
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (7 JAN): Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah semalam mengumumkan untuk menarik balik kerjasama dalam membentuk Kerajaan Negeri bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti yang dimeterai selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO Sabah.
Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh pemimpin UMNO Sabah selepas mengambil kira tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang memecat Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah dan mengugut mahu membuat rombakan kabinet negeri.
Katanya, Hajiji sudah melanggar persefahaman yang dibuat di antara BN dengan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dibuat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.
“Persefahaman politik itu antara lain menyebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN / UMNO akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Hajiji untuk dilantik sebagai Ketua Menteri selagi pelantikan Jemaah Menteri serta lantikan pengerusi syarikat milik kerajaan negeri daripada BN / UMNO seperti termaktub dalam perjanjian persefahaman politik dihormati.
“Hari ini Ketua Menteri mengeluarkan surat penamatan kepada Salleh selaku Pengerusi Qhazanah Sabah dan mengugut kita mengenai rombakan Kabinet tanpa berbincang dengan kita.
“Jadi kami sebulat suara membawa UMNO dan BN Sabah menarik diri daripada kerajaan negeri dan sokongan terhadap Hajiji.
“Kami sudah hilang kepercayaan dan selepas Hajiji keluar daripada BERSATU , kami bincang dengan beberapa peguam yang memaklumkan bahawa Hajiji hilang locus standi dan tiada layak menjadi Ketua Menteri,” katanya.
Bung Moktar berkata, pihaknya bertindak selepas melihat Perlembagaan Negeri dan mengambil tindakan balas apabila Hajiji melanggar perjanjian yang dimeterai sebelum ini.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dan Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, ketika ini UMNO Sabah mempunyai 18 ADUN termasuk Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama) yang baru menyertai parti itu.
Bagaimanapun, katanya lima ADUN UMNO tidak menyokong keputusan dibuat pihaknya dan bakal berdepan tindakan.
Berikutan tindakan ADUN UMNO itu, kerajaan negeri pimpinan Hajiji mempunyai 42 kerusi daripada 79 kerusi keseluruhan termasuk enam kerusi ADUN Dilantik.