Peruntukkan RM54 juta kepada sekolah dan badan agama bukan Islam di Sabah
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (5 JAN): Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri memperuntukkan geran berjumlah RM54.05 juta kepada sekolah dan badan agama bukan Islam dalam perbelanjaan tahun ini merekodkan peningkatan sebanyak RM7.05 juta berbanding jumlah tahun lalu.
Jelasnya, perkara itu menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat dengan keperluan rakyat dan membantu mereka tanpa mengira bangsa dan agama, katanya pada Majlis Penyerahan Kepala Singa kepada Masyarakat Tiong Hua Sabah Sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2023 Anjuran Kerajaan Negeri Sabah di Magellan Sutera Resort and Spa di sini, hari ini.
Beliau berucap sedemikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Sementara itu, Kerajaan Negeri turut akan memberikan kepala singa bernilai 1.5 juta diedarkan melalui kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen masing-masing.
“Penyampaian kepala singa kepada masyarakat Cina Sabah sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bakal tiba menunjukkan Kerajaan Negeri komited menyokong dan membantu kepelbagaian masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” jelasnya.
“Kerajaan Negeri akan sentiasa membantu rakyat berbilang kaum dan agama dalam memastikan mereka akan dapat meraikan sambutan masing-masing,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hajiji turut berharap bantuan itu akan menyemarakkan lagi semangat Tahun Baru Cina perayaan dan pada masa yang sama terus memupuk semangat setiakawan dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Beliau turut menyeru semua lapisan masyarakat khususnya masyarakat kaum Cina untuk berganding bahu dengan Kerajaan dalam membangunkan negeri ini sekaligus meletakan Sabah akan terus maju ke depan.