Amaran hujan berterusan di Sabah dan Sarawak ditamatkan
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (4 JAN): Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menamatkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan sebelum ini melibatkan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.
Kawasan di Sabah itu melibatkan daerah Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat.
Manakala di Sarawak merangkumi kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah termasuk kawasan Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat.
Berbeza pula bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Met Malaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu yang dijangka bermula Jumaat ini.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan amaran yang berkuat kuasa hingga Sabtu di Kelantan itu melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan.
Di Terengganu pula, kawasan yang terbabit Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.