Dua cedera insiden motosikal bertembung kereta di Tuaran

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

TUARAN (4 JAN): Dua lelaki berumur 18 dan 19 tahun cedera selepas motosikal jenis EX5 yang ditungang mereka bertembung dengan kereta jenis Perodua Axia berhampiran dengan Kampung Labuaya, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Keadaan motosikal mangsa selepas bertembung dengan kereta berhampiran jalan Kampung Labuaya, Tuaran, kelmarin petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.16 petang.

“Kemalangan membabitkan motosikal jenis  EX5 yang berlanggar dengan kereta Perodua Axia.

“Dua mangsa mengalami kecederaan iaitu penunggang berumur 19 tahun dan pemboncengnya berumur 18 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sejurus kejadian, sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikerah ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

Jelasnya, kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

Operasi ditamatkan pada jam 4.53 petang, kelmarin.