
36 KIR mangsa fenomena air pasang di Kampung Tanjung Aru terima bantuan

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (3 JAN): Seramai 36 Ketua Isi Rumah (KIR) Kampung Tanjung Aru Baru yang menjadi mangsa fenomena air pasang besar Disember lalu menerima Bantuan Wang Ihsan Bencana Alam sebanyak RM1,000, hari ini.
Agihan yang dilakukan di Balai Raya kampung berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sambil meninjau keadaan rumah-rumah mangsa yang rosak dan roboh susulan bencana alam itu.
Hajiji turut mengumumkan tiga rumah roboh sepenuhnya milik KIR di sini akan menerima bantuan tambahan sebanyak RM 20,000 daripada Kerajaan untuk pembinaan semula.
Begitu juga dengan 33 buah kediaman yang rosak sebahagian akan menerima bantuan RM10,000.
“Dengan bantuan dan Wang Ihsan itu ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kesemua mangsa di sini,” katanya dekat sini selepas melakukan tinjauan ke rumah-rumah mangsa yang terjejas.
Ditanya mengenai perkembangan terkini mangsa bencana air pasang besar di Kampung Forest, Sandakan, Hajiji berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana di daerah itu.
“Kita masih lagi menunggu laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Sandakan, ada beberapa pendapat di sana, salah satunya ialah mereka (mangsa) tidak mahu dibina rumah di kawasan tersebut, jadi sekarang kita sedang mencari satu kawasan yang sesuai.
“Setakat ini ada mangsa yang kita pindahkan sementara di pusat Program Perumahan Rakyat (PPR), kita tunggu dulu laporan itu baru kita boleh buat keputusan dan beri bantuan,” jelasnya.
Turut hadir dalam agihan bantuan itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir; Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Noorliza Awang Alip; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Datuk Ag Shahminan Ag. Sahari; dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Aru Encik Mohd Reduan Aklee.