Tubuh terhempas, lelaki pengendali payung terjun maut di Menggatal

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (31 DIS): Seorang peluncur layar (payung terjun) lelaki berusia 26 tahun meninggal dunia selepas terhempas pada cerun konkrit di kawasan Projek Lebuhraya Pan Borneo berdekatan Kampung Keliangau, Menggatal dekat sini kelmarin.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku selepas mangsa berjaya melakukan pendaratan dan sempat membuka tali keselamatan pengikat penumpang yang dibawanya dari Bukit Kokol.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Kalsom Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Mangsa dikatakan membawa seorang penumpang menuruni bukit dari kawasan Bukit Kokol dan berjaya mendarat dengan selamat.

“Sejurus itu, mangsa yang tidak sempat menanggalkan tali payung terjun telah ditiup angin kuat menyebabkan mangsa terbang dan terhempas di cerun konkrit,” katanya di sini.

Mangsa yang mengalami cedera parah meninggal dunia di lokasi kejadian selepas disahkan petugas kesihatan.

Mayat dirujuk ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth bagi tujuan bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.