Mangsa fenomena air pasang dan banjir catat penurunan di Sabah
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (27 DIS): Jumlah mangsa air pasang besar dan banjir membabitkan 355 keluarga di daerah Pitas, Kota Belud dan Sandakan menunjukkan angka penurunan sejak pagi tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, berkata jumlah itu menurun daripada 1,647 mangsa semalam menjadi 1,589 sejak pagi hari ini.
Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muhibbah Sembulan menempatkan 54 mangsa bencana air pasang besar dari Pulau Gaya telah ditutup kira-kira jam 4.30 petang kelmarin selepas kesemua mangsa dihantar ke jeti Pulau Gaya untuk pulang ke kediaman masing-masing.
Untuk rekod, Pitas kekal mencatatkan mangsa tertinggi dengan 768 mangsa, disusuli Sandakan (686 mangsa) dan Kota Belud (135 mangsa).
Tambah kenyataan itu, sehingga kini sembilan PPS masih beroperasi dengan semua PPS terbabit masih menempatkan jumlah mangsa yang sama seperti kelmarin.
“Di Pitas sebanyak enam PPS masih dibuka melibatkan Balai Raya Agropolitan Kampung Pinggan-Pinggan (297 orang), Dewan Kampung Mempakad (163 orang), Dewan Terbuka Kanpung Rosob (156 orang), Gereja SIB Kampung Luntuk (79 orang), Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinggan-Pinggan (57 orang) dan Dewan Terbuka Kampung Salimpodon (16 orang).
“Di Kota Belud, dua PPS masih beroperasi iaitu Dewan Sekoleh Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa (73 orang) dan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan (62 orang), manakala di Sandakan sebuah PPS masih aktif iaitu di SK Sungai Anib 2 (686 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam situasi berasingan, kejadian air pasang besar di Kampung Forest Sandakan lewat kelmarin telah mengkibatkan 370 mangsa daripada 63 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas lebih 100 kediaman atas air itu roboh dipukul ombak.
Terdahulu, fenomena sama turut berlaku di Kampung Tanjung Aru Baru dekat sini melibatkan 210 orang daripada 39 keluarga.