
Sembunyi di atap flat, budak hiperaktif selamat di Penampang

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
PENAMPANG (20 DIS): Seorang kanak-kanak lelaki hiperaktif berumur 12 tahun yang bersembunyi di bahagian atap sebuah flat empat tingkat dekat sini berjaya diselamatkan.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata, kejadian itu berlaku pada jam 6.57 Isnin petang selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada keluarga kanak-kanak berkenaan.
Bertindak atas aduan, sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digerakkan ke lokasi.
Setiba di lokasi, difahamkan seorang kanak-kanak sedang bersembunyi di tingkat empat bangunan tersebut.
Pasukan bomba segera memanjat ke bahagian atap flat menggunakan jeriji besi.
“Mangsa berumur 12 tahun itu berjaya ditemukan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” kata kenyataan itu.
Mangsa kemudiannya dibawa turun sebelum diserahkan kepada pihak keluarga untuk tindakan selanjutnya.
Operasi keseluruhan ditamatkan jam 8.40 malam.