Gudang barangan dapur, dua lagi premis musnah dijilat api di Jalan Tuaran Bypass

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (13 DIS): Satu kebakaran melibatkan gudang barangan dapur YKL musnah dijilat api di Lorong Kuala Neutron Jalan Tuaran Bypass, dekat sini kelmarin.

Difahamkan, gudang yang menjual barangan borong runcit dengan keluasan kira-kira 20,000 kaki persegi itu terbakar bersama dengan premis alat gantian kereta Honda dan sebuah lagi arena sukan yang menyediakan gelanggang bola keranjang, pingpong, gelanggang badminton dan gimnisium.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.29 pagi.

Katanya, 21 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan BBP Lintas dikerah ke lokasi kejadian.

Api berjaya dikawal pada jam 8.20 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 3.35 petang kelmarin.

Tiada mangsa cedera dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Sehingga kini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.