Bahasa Inggeris mampu tingkat kebolehpasaran graduan ke peringkat global: Azman

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (12 DIS): Penguasaan bahasa Inggeris para graduan dapat meningkatkan kebolehpasaran peluang ke peringkat global.

Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Azman Hashim berkata penguasaan bahasa pengantar antarabangan itu kini menunjukkan penurunan ketara.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris telah banyak menurun. Contohnya, semasa temu duga kerja didapati ramai graduan berada pada tahap prestasi rendah.

“Dalam persidangan antarabangsa juga menyaksikan beberapa pihak dari Thailand dan Indonesia pernah mengusulkan pertanyaan tersebut kepada kami,” katanya.

Azman mengatakan bahawa terdapat ramai graduan yang tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Graduan semasa temu duga kerja tidak boleh berkomunikasi, menerangkan, atau bercakap dengan betul menggunakan bahasa Inggeris.

“Kekurangan yang ada ini menyebabkan mereka kehilangan peluang pekerjaan,” tambahnya lagi.

Beliau menyifatkan graduan yang menguasai bahasa Inggeris pada tahap yang maksimum sebagai graduan yang berpeluang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan.

“Pada setiap majlis graduasi, beribu graduan baharu yang diraikan. Graduan-graduan ini seterusnya akan membuat permohonan kerja pada mana-mana syarikat.

“Graduan yang menguasai bahasa Inggeris mempunyai peluang yang lebih luas kerana mereka tidak terhad di dalam Malaysia sahaja, tetapi juga di peringkat global.

“Graduan ini juga akan lebih cenderung diambil untuk bekerja oleh syarikat-syarikat swasta yang mementingkan penggunaan bahasa Inggeris,”katanya.

Menurutnya juga, bahasa inggeris merupakan bahasa yang harus diajarkan kepada semua orang semenjak dari kecil lagi.

“Bahasa Inggeris adalah satu bahasa yang sangat indah. Ia patut dipelajari dan dikuasai oleh semua orang untuk kebaikan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 693 orang graduan sidang 2, Majlis Konvokesyen UMS ke-24, kelmarin.