Kumpulan Yayasan Sabah menandatangani MoU sempena Program Penanaman Bahan Mentah
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (5 DIS): Kumpulan Yayasan Sabah melalui Kraftangan Sabah (PKS) telah menantangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dalam memastikan bekalan rantaian bahan mentah yang mampan sempena Program Penanaman Bahan Mentah (2023-2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dekat sini, hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir.
Menandatangani bagi pihak Kumpulan Yayasan Sabah, Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Dato’ Sri Haji Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar dan disaksikan oleh Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman, manakala MTIB diwakili oleh Ketua Pengarah, Haji Kamaruzaman Othman dan disaksikan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC), Farydatul Nazly Mohd. Zin.
Abidin menyatakan program anjuran PKS dibawah Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah akan mengurangkan permintaan terhadap hutan asli sebagai sumber bahan mentah, memastikan daya maju jangka panjang bahan mentah seperti buluh dan rotan, yang menjadi komoditi penting dalam industri kraftangan, katanya ketika berucap dalam program itu.
“Program penanaman akan dijalankan di kawasan Konsesi Yayasan Sabah dengan penglibatan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, Kumpulan Yayasan Sabah telah menjalin hubungan kerjasama dengan agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi seperti Unit Penyelerasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM), Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO), Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Jabatan Pertanian Sabah, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Cawangan Sabah) dan Universiti Malaysia Sabah untuk menyediakan kepakaran dan khidmat nasihat strategik bernilai tinggi bagi memastikan keberkesanan program tersebut.
“MTIB akan menyediakan perundingan teknikal mengenai pemilihan spesies, teknik penanaman, pembajaan dan rawatan; menjalankan kajian dan penyelidikan mengenai bahan, produk, mesin dan peralatan; dan memberi pengiktirafan kepada peserta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 berdasarkan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT),” jelas beliau.
Katanya, kekayaan sumber asli Sabah mesti digunakan secara mampan untuk menjana pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negeri dalam sektor perindustrian.
“Justeru, program ini dijangka dapat memperkukuh pertumbuhan ekonomi, mengembangkan sektor huluan dan hiliran serta menghasilkan bahan eksport yang ketara dalam menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara kita,” tambahnya.
Kumpulan Yayasan Sabah akan terus mempelbagaikan usahanya untuk membangunkan inisiatif yang mampan demi memperkasakan pengusaha industri kayu tempatan kita.