KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM39.31 bilion

editor@bayunews.net

PETALING JAYA (5 DIS): Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM39.31 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022, susut 18 peratus atau RM8.71 bilion berbanding RM48.02 bilion dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 berjumlah RM12.32 bilion, menurun sebanyak RM1.65 bilion atau 12 peratus berbanding RM13.97 bilion dalam tempoh sama 2021.

Bagaimanapun, ia juga mewakili peningkatan 11 peratus berbanding suku kedua 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berikutan keadaan pasaran pelaburan ekuiti dan pendapatan tetap yang stabil, KWSP telah mencatatkan prestasi suku ketiga yang lebih baik daripada pendapatan pelaburan kasar suku sebelumnya sebanyak RM11.14 bilion.

“Terdapat kebimbangan kadar faedah yang lebih tinggi akan mendorong kepada kemelesetan global, ditambah dengan risiko geopolitik berterusan dan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat.

“Namun, di sebalik cabaran ini, pendekatan pelaburan KWSP yang berdisiplin, berpandukan Alokasi Aset Strategik yang mantap dan pengurusan portfolio yang aktif, membantu mengurangkan impak dan membolehkan KWSP memberikan prestasi yang stabil didorong oleh lonjakan kukuh dalam pasaran domestik,” katanya dalam kenyataan.

Dalam suku tahun yang dikaji, ekuiti menyumbang RM5.49 bilion, merangkumi 45 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

Di sebalik peningkatan ketidaktentuan pasaran, KWSP berjaya mencatatkan pertumbuhan suku ke suku yang sihat sebanyak 13 peratus untuk pendapatan pelaburan kasar daripada portfolio ekuitinya.

Ekuiti persendirian, yang merupakan sebahagian daripada kelas aset ini berjaya memberikan pendapatan direalisasi yang memberangsangkan sebanyak RM1.09 bilion atau 20 peratus daripada jumlah pendapatan ekuiti yang dicatatkan pada suku tahun tersebut.

Portfolio ini menjadi semakin penting untuk KWSP dalam usaha kepelbagaiannya kerana ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti tersenarai kekal tinggi.

Instrumen Pendapatan Tetap, kekal sebagai tunjang kepada KWSP dalam memelihara modal dan memberikan aliran pendapatan yang stabil, mengurangkan kesan daripada turun naik pasaran jangka pendek dan menyediakan kestabilan untuk pendapatan keseluruhan KWSP.

Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan RM1.67 bilion, manakala pendapatan daripada instrumen pasaran wang menjana RM0.39 bilion, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini.

Di sebalik cabaran makroekonomi, pertumbuhan aset KWSP kekal sihat kerana caruman yang diterima sehingga September 2022 adalah RM63.61 bilion, lebih baik daripada yang dijangkakan.

Amir Hamzah berkata, pemulihan ekonomi negara menyediakan landasan baik kepada pelaburan dan peluang yang akan menjana aktiviti ekonomi, pekerjaan dan pergerakan insan dan barangan yang lebih pantas.

“Ini adalah masa yang sesuai untuk pelabur institusi seperti KWSP menggubal strategi perniagaannya bagi keteguhan jangka pendek di samping mengekalkan daya tahan dan pertumbuhan jangka panjang.

“Dari aspek pelaburan, KWSP mengekalkan daya tahan dan fokus terhadap perkara yang boleh kami kawal iaitu peruntukan aset, kos dan strategi menyeluruh yang memberi penekanan terhadap kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan Alokasi Aset Strategik kami,” ujarnya.-UM