Industri minyak sawit dijangka hadapi masa sukar

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (2 DIS): Industri minyak sawit sedang menghadapi masa sukar disebabkan peningkatan kos buruh, baja dan operasi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, ini ditambah dengan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) yang turun naik dari minggu ke minggu yang di luar kawalan pemain industri.

“Pada masa ini dengan harga MSM kini dalam jajaran RM3,500/Mt (metric ton) ke RM4,000/Mt, akan mengakibatkan kurangnya hasil untuk negeri Sabah berbanding awal tahun 2022.”

“Justeru, adalah amat penting pada masa ini untuk Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terlibat dalam industri sawit terus memantau dengan lebih teliti berkaitan kawalan kos operasi dan produktiviti pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Sabah Softwoods Berhad ke-137 di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, Sabah Softwoods Berhad telah menunjukkan prestasi yang baik pada dua suku pertama 2022.

“Saya amat bangga diberitahu bahawa akaun syarikat Sabah Softwoods dari awal tahun sehingga sekarang menunjukkan peningkatan hasil disebabkan oleh harga MSM yang baik, walaupun pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dan MSM tidak mencapai sasaran yang kehendaki.”

“Saya ingin melihat supaya Lembaga Pengarah dan pasukan Pengurusan mencari jalan dan kaedah untuk menyelesaikan masalah kekurangan buruh dan kekangan logistik yang menghalang pengeluaran BTS,” kata Hajiji yang juga Pengerusi Sabah Softwoods Berhad.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Negeri optimis, Sabah Softwoods yang berjaya merekodkan hasil dan keuntungan lebih tinggi tahun ini boleh membayar lebih banyak dividen kepada pemegang saham disamping memberi lebih banyak faedah dan manfaat kepada pekerja dari segi pembayaran gaji dan bonus.