Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (2 DIS): Baru-baru ini spekulasi menyatakan mantan Penyerang Petaling Jaya City FC (PJ City FC) Darren Lok ke Sabah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2023 akhirnya terjawab selepas diumumkan secara rasmi bakal menyarung jersi selaku pemain baharu Sabah FC.

Kehadiran penyerang berusia 31 tahun itu diumumkan menerusi hantaran di media sosial rasmi kelab itu semalam.
Penampilan sulung Darren selaku penyerang yang memiliki kredibiliti tersendiri itu sudah pasti dapat menyelesaikan masalah di bahagian serangan pasukan The Rhinos.

Menerusi saingan Liga Super Darren berjaya meledak 10 jaringan dan dua lagi dalam kempen Piala Malaysia ketika bersama PJ City FC yang meletakkan beliau sebagai penjaring terbanyak Liga Super dalam kalangan pemain tempatan.
Beliau juga diumumkan menandatangani kontrak, pemain tengah Sabah FC Stuart Wilkin secara tetap yang sebelum ini berstatus pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT).
Stuart menjadi antara tonggak utama pasukan Sabah musim ini apabila berjaya menjaringkan dua gol menerusi 18 penampilan.
Sementara itu, Sabah FC turut meningkatkan kualiti di posisi pertahanan apabila membawa masuk pemain Kuala Lumpur (KL) City, Muhammad Irfan Zakaria bagi menghadapi musim depan.
Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee juga boleh membuat pilihan terbaik dibahagian pertahanan yang mana ketika ini beliau turut memiliki Rawilson Batuil dan Dominic Tan di posisi sama.
Irfan Zakaria juga sebelum ini merupakan antara anak didik Kim Swee ketika beliau membimbing skuad bawah 23 tahun.
Dalam pada itu, Sabah FC juga dijangka akan mengekalkan barisan pemain sedia ada seperti Park Tae Su, Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Khairul Fahmi Che Mat bagi menghadapi saingan musim depan.
Difahamkan beberapa nama akan turut diumumkan pada hari ini menerusi media sosial rasmi Sabah FC.
Sabah FC menamatkan cabaran Liga Super 2022 di tangga ketiga di belakang juara, JDT FC dan Terengganu FC sekaligus layak ke Piala AFC atas tiket tempat ketiga Liga Super selepas JDT menyapu bersih kesemua trofi domestik.