
Biasiswa dan dermasiswa diselaraskan bagi pelajar IPTA dan IPTS di Sabah

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (1 DIS): Dalam mendepani kos sara hidup mencabar, Kerajaan Negeri menerusi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dan Biasiswa Yayasan Sabah sedang melakukan kajian untuk menaikkan kadar elaun biasiswa kepada semua pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan (IPTS).
Menurut kenyataan Menteri Tugas-Tugas dan Penyelasan Sabah, Datuk Dr Mohd Ariffin berkata, kerajaan amat prihatin dengan beban perbelanjaan yang ditanggung pelajar dari luar bandar yang melanjutkan pengajian.
Jelasnya, zakat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sedang menyelaraskan kadar dermasiswa zakat selari dengan kadar elaun dan jumlah yang ditawarkan BKNS.
“Kerajaan negeri melalui Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan turut menyediakan beberapa bantuan bagi mengurangkan beban perbelanjaan mereka,” katanya ketika menjawab pertanyaan Jannie Lasimbang (DAP-Kapayan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Mohd Arifin berkata, Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI) iaitu bantuan tunai sebanyak RM2,000 diberikan kepada pelajar- pelajar yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dan RM1,500 bagi Diploma/Asasi/Matrikulasi.
Katanya, pada tahun ini, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM10 Juta untuk melaksanakan program tersebut.
“Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) iaitu bantuan pemberian komputer (Laptop) di kalangan pelajar- pelajar anak Sabah di bawah e-Kasih Miskin Tegar yang sedang belajar di IPT/Sekolah yang tidak mampu membeli komputer untuk tujuan pembelajaran.
“Program ini melibatkan peruntukan sebanyak RM 1 juta,” katanya.