
Pemuda terlibat lumba haram didenda lapan bulan penjara dan denda RM5,800 di Tawau

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
TAWAU (30 NOVEMBER): Seorang pemuda berusia 23 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,800 selepas mengaku bersalah terlibat dengan aktiviti lumba haram tahun lalu.
Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan ke atas Mohd Azranshah Rahman yang didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Apas-Balung pada 1 Ogos 2021, jam11.30 malam.
Tertuduh melakukan aksi menduga kelajuan yang melibatkan dua buah motosikal dan menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ iaitu bertiarap di atas tempat duduk motosikal yang ditunggang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda sehingga RM15,000.
Sementara itu, dia turut didakwa mengikut Seksyen 81 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengambil bahagian dalam pertandingan lumba haram tersebut.
Pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee dalam hujahannya meminta Mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal selepas mengambil kira kepentingan awam serta pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Majistret Leona Dominic Majiliu kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bukan, denda RM5,000, gagal bayar tiga bulan penjara dan lesen memandu digantung selama dua tahun bagi kesalahan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Manakala, bagi kesalahan Seksyen 81 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Azranshah dikenakan hukuman denda RM800, gagal bayar satu bulan penjara.