Lebih 20 belia sertai Seminar Kemahiran Penyelenggaraan Kenderaan di Tuaran

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

TUARAN (29 NOVEMBER): Lebih 20 belia terlibat dalam Seminar Kemahiran Penyelenggaraan Kenderaan, dekat sini semalam.

SEMINAR ….Antara belia yang hadir dalam program.

Seminar anjuran WWN SERVICES dengan kerjasama Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Port Sabah itu memberi pendedahan buat belia akan kepentingan kemahiran dan penyelenggaraan kenderaan disamping kepatuhan terhadap undang-undang selaku pengguna di jalan raya.

Seminar yang berlangsung selama sehari di Pejabat Utama WWN SERVICES, Telipok Ria itu lebih menarik apabila slot amali dan praktikal penukaran alat gantian asas kenderaan turut dilaksanakan secara terus kepada peserta.

Menurut wakil penganjur, Norizan Salleh berkata, penganjuran seminar seperti ini merupakan satu program ilmu yang baik khususnya kepada belia sebagai agen perubahan terhadap masyarakat.

“Pengisian kali ini bukan saja mampu mencerna pemikiran anak muda malah mereka mampu mempraktikkan latihan amali menerusi teori dan tips yang diberikan.

Sementara itu, menurut salah seorang peserta Ramli Iman berkata seminar tersebut amat baik dan perlu dianjurkan dengan lebih kerap terutama sekali kepada semua lapisan masyarakat.

“Baik pemandu atau penumpang kenderaan, kedua-dua individu ini perlu mempunyai ilmu asas penyelenggaraan.

“Kesedaran seperti ini mampu mengurangkan kejadian kemalangan jalan raya dan mengelakkan kecuaian ketika menggunakan apa juga jenis kenderaan, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Seminar perkongsian ilmu disampaikan oleh Insititut Kemahiran Mara, Mazmie Maihaddin dan Port Sabah Muhd Khairul Muhammad Thamrin.