Contohi sifat keperibadian Rasulullah SAW: Harun
SEYBI SABBY
editor@bayunews.net
PITAS (15 NOVEMBER): Keperibadian Nabi Muhammad SAW sangat terpuji dan perjuangannya perlulah kita renungi kembali dan seterusnya menjadikan contoh sifat dan kehidupan Rasulullah sebagai teladan yang terbaik, kata Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Harun Durabi sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Pitas 2022 di Dewan SK Pekan Pitas II, baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bengkoka menjelaskan kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah rahmat terbesar dan anugerah teragung sebagai utusan Allah SWT untuk menghentikan segala kerosakan seperti penyembahan berhala, penzinaan, mabuk, berjudi, merompak membunuh dan pelbagai kerosakan lain di dunia ini.
“Sempena sambutan Maulidur Rasul SAW tahun ini marilah kita ambil peluang dan mencontohi Baginda Rasulullah SAW dan para Sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga mencapai kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat.
“Sambutan Maulidul Rasul tahun ini yang bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran bertepatan dengan konsep keluarga Malaysia, jelas menunjukkan kepentingan institusi keluarga dalam pembinaan negara khususnya dalam menghadapi situasi yang mencabar ini,” katanya dalam majlis itu.
Tambahnya lagi, tiga teras utama yang digariskan iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dijadikan sebagai nilai dalam konsep Keluarga Malaysia manakala antara pengkayaan nilai dibawah tiga teras seperti menyemai budaya integriti dalam keluarga, menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga dan menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga.
Turut diadadakan acara perarakan sepanduk, ceramah agama oleh Ustaz Haji Muhammmad Akmal Osman Pengarah YADIM Negeri Sabah dan banyak lagi.
Johan pertandingan sepanduk kategori jabatan dan keseluruhan dirangkul oleh pasukan PDRM Pitas membawa pulang wang tunai dan piala iringan.
Sementara johan kategori sekolah dimenangi SMK Pitas manakala bagi kategori Kampung/Masjid disandang oleh Masjid Ar Rahman Kampung Salimpodon Laut.
Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Pitas Marck Hassan Libau, Penolong Pegawai Daerah Pitas Pembangunan 2, Johari Abdullah, Pegawai Tadbir Agama merangkap Setiausaha penganjur Ustaz Kamal Sindong, Ketua Polis Balai Pitas Inspektor Zakariah Suhara, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dun Bengkoka, Mohd. Lahab Enul Ketua Jabatan Kerajaan dan Pemimpin NGO serta masyarakat setempat.