Wanita meninggal dunia ketika mendaki bukit di Tamparuli

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

TUARAN (13 NOVEMBER): Seorang wanita berusia 46 tahun meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki bukit di Kokobuan Trig Hill Kampung Runggus Nahab, Tamparuli dekat sini, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata kejadian jam 12.30 itu berlaku apabila mangsa mendaki bukit berkenaan bersama rombongan seramai 11 orang.

“Semasa berada di Kilometer 2.5, mangsa dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri sebelum diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) oleh pengiring bagaimanapun mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas.

“Pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran kemudiannya bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 12.49 tengah hari,” katanya.

Beliau berkata mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pasukan bomba menjalankan operasi membawa mangsa turun menggunakan pengusung,” katanya.

Beliau berkata operasi keseluruhan ditamatkan jam 11.21 malam.