
Usahawan wanita perlu lengkapkan diri ilmu perniagaan: Juliah

SEYBI SABBY
editor@bayunews.net
TUARAN (11 NOVEMBER): Usahawan wanita di Sabah khususnya digalakkan merebut peluang yang disediakan kerajaan dalam melengkapkan diri dengan ilmu perniagaan untuk mencapai kejayaan.
Isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Juliah Salag merupakan Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) berkata keusahawanan memerlukan komitmen yang tinggi, dan pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan dan pemasaran dalam membantu mereka mencapai kejayaan.
Beliau berkata wanita bukan sahaja memupuk keluarga, tetapi juga menyumbang kepada ekonomi keluarga.
“Selain meningkatkan ekonomi dan daya saing negara menerusi keusahawanan ia mampu memberi sumber pendapatan, mengatasi isu kemiskinan, mewujudkan pekerjaan baharu dan meningkatkan kualiti hidup,” kata beliau ketika menutup Program Keusahawanan JHEWANITA 2022, anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), di Dewan Kebudayaan Bajau Samah di Tuaran di sini semalam.
Beliau berkata kerajaan komited terhadap pemerkasaan wanita melalui pelaksanaan program pembangunan.
Selaras dengan komitmen itu, kerajaan Sabah menyediakan peruntukan RM17.6 juta dalam Belanjawan Negeri 2022, RM5.8 juta daripadanya diperuntukkan kepada JHEWA dan RM11.8 juta kepada Yayasan Usaha Maju.
Kerajaan pusat turut memperuntukan RM230 juta bagi meningkatkan kapasiti perniagaan usahawan wanita tahun ini.
Jelasnya, sebahagian daripada peruntukan disalurkan menerusi program Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita di bawah Mara, serta Tekunita di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Nasional.