Kekang jenayah rentas sempadan di Kunak

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

KUNAK (5 NOVEMBER): Bagi mengekang aktiviti jenayah sempadan di daerah ini, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timut Sabah (ESSCOM) melancarkan operasi bersepadu selama tiga hari bermula 1 November sekaligus melakukan penguatkuasaan ke lokasi tumpuan persembunyian pendatang tanpa izin (PATI), dekat sini.

Menurut kenyataan Komander ESSCOM Deputi Komisioner, Datuk Hamzah Ahmad berkata, seramai 81 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pejabat Daerah turut sama menjayakan operasi kali ini.

Selain itu, turut membantu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan SESB.

Hasil daripada operasi berkenaan seramai 496 warga asing telah diperiksa. Lapan daripadanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan akan dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) untuk tindakan lanjut sebelum diusir pulang ke negara asal masing-masing.

“Berdasarkan rekod mendapati PTI berpotensi dijadikan sebagai tali barut kepada elemen penjenayah rentas sempadan yang ingin melakukan aktiviti penculikan, rompakan dan penyeludupan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE),” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 120 kenderaan pelbagai jenis diperiksa dan 51 keping saman atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikeluarkan oleh JPJ dan PDRM Kunak.

“Di samping itu, dua notis atas kesalahan tidak memiliki lesen Perdagangan dan pengendalian makanan dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kunak.

Sementara itu, SESB turut melaksanakan operasi pemotongan penyambungan wayar elektrik haram di 15 lokasi Kunak.

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti keselamatan di pantai timur Sabah ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya.