SEYBI SABBY
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (3 NOV): Seorang pejalan kaki meninggal dunia selepas dirempuh penunggang motosikal di Jalan Lintas berhampiran Puspakom, semalam.
Kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa yang berusia 40 tahun baru pulang dari tempat kerja menuju ke rumahnya yang terletak di Batu 5, Jalan Tuaran dekat sini.
Menurut kenyataaan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan awal mangsa melintas jalan seorang diri.
Jelasnya, ketika itu lampu isyarat berwarna merah, mangsa cuba melintasi jalan namun dirempuh secara tiba-tiba oleh sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki.
Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala penunggang motosikal yang melanggar mangsa berjaya melarikan diri bersama motosikal miliknya.
Siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian penunggang motosikal yang memandu secara melulu dan merbahaya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000, jika sabit kesalahan.