
Sembilan Pusat Pemindahan Sementara banjir di Sabah dibuka

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.com
KOTA KINABALU (2 NOV): Sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir dibuka selepas hujan berterusan sejak jam 6 petang semalam di beberapa lokasi di seluruh negeri ini.
Menurut laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan berkata sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 724 mangsa banjir daripada 201 keluarga di seluruh Sabah setakat jam 5 semalam.
Jumlah itu termasuk sembilan keluarga di PPS Kolam Renang Kompleks Sukan Penampang, 66 mangsa daripada 13 keluarga di PPS Dewan Kampung Airport Batu 10 Kunak.
PPS Dewan Mini Mesapol pula menempatkan 43 mangsa daripada 15 keluarga di Sipitang.
Dua daerah mangsa paling ramai di PPS Tenom masing-masing di Rumah Kebudayaan Kalang Kanar seramai 29 mangsa, PPS Rumah Kebudayaan Makakagas melibatkan 259 mangsa manakala Rumah Kebudayaan Gunting 10 mangsa.
Sementara itu, PPS Dewan Gereja Kampung Senagang dan Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2 di Keningau masing-masing menempatkan 199 dan 97 mangsa.
22 perkampungan dan lokasi di Beaufort turut terjejas akibat banjir meskipun tiada laluan dilaporkan tersekat buat masa ini.
Bacaan paras air bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Beaufort pada 9.45 iaitu melebihi paras bahaya.
Keadaan paras air sungai yang meningkat mengakibatkan banyak kawasan dinaiki air dan pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Beaufort giat membuat pemantauan kawasan yang terbabit.
Beberapa kawasan lain turut terjejas termasuklah Kampung Binunuk, Balibata, Bakalau, Kuarters Kereta Api, Simpang 4 Chan, Bingkul, Lumatai, Melulugus, Mempagar, Limbawang, Bukau, Laboi, Luangan Sanginan, Lajau, Lubak, Batandok Lubak, Lupak Seberang, Tuhu, Beringin, Lago, Suasa dan Jaya Baru Lumadan.
Lewat ini belum ada PPS dibuka di Beaufort.