Lelaki langgar kelapa sawit di Tenom parah

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.com

TENOM (31 OKT): Seorang Lelaki cedera parah selepas kenderaan yang dipandunya terbabas melanggar sebatang pokok kelapa sawit di Kampung Makaniton, dekat sini awal pagi tadi.

Kira-kira jam 4.23 pagi, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999.

Mangsa berusia 63 tahun, menggunakan kenderaan jenis Nissan Navara itu turut tersepit menyebabkan tangannya patah sejurus dikeluarkan pasukan bomba.

Jentera bomba yang diketuai Pegawai Operasi PBKII, Mohamad Herryzan Epui Ridzuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom terus ke lokasi kejadian yang berada 14 kilometer dari BBP.

Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Tenom bagi menerima rawatan lanjut.

Operasi ditamatkan pada jam 5.20 pagi.